May 12, 2022 - FASSembilan pemain-pemain muda Selangor FC telah menyahut seruan Harimau Malaya dalam kejohanan Sukan SEA Vietnam 2021 yang sedang berlangsung di mana dua daripada sembilan pemain tersebut, Danial Asri dan Syahir Bashah merupakan dua muka baharu yang telah menarik minat pengendali bawah 23 tahun Malaysia, Brad Maloney untuk menyertai pasukannya buat kali pertama di Hanoi, Vietnam.
Danial merupakan pemain pembangunan Selangor FC yang bermula dengan pasukan Belia Selangor pada tahun 2019. Beliau telah dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan untuk saingan Liga Premier 2020. Baca lebih lanjut mengenai Danial Asri di: bit.ly/KenaliPemainDanialAsri
Syahir Bashah pula merupakan pemain muda baharu Selangor FC tahun ini. Beliau merupakan antara pemain ‘regular’ pasukan musim ini dan telah menjaringkan gol Liga Super pertama beliau ketika menentang Harini FT dalam saingan Piala FA 2022. Baca info mengenai Syahir di: https://bitly.com/SyahirIsRED
Kedua-dua mereka telah mendapat kepercayaan yang tinggi daripada Brad apabila disenaraikan sebanyak dua kali untuk beraksi dalam kesebelasan utama baru-baru ini menentang pasukan Thailand dan Laos untuk aksi pembukaan Kumpulan B.
Untuk pengetahuan, Danial telah menjaringkan gol ‘debut’ beliau dalam perlawanan menentang Thailand pada minit ke-61 dan Syahir pula baru sahaja membuka akaun gol beliau pada minit ke-42 menentang Laos semalam. Kedua-dua gol ini telah dicetak oleh pemain muda tonggak Selangor FC, Mukhairi Ajmal yang juga merupakan kapten pasukan bawah 23 tahun negara.
Menurut Danial, beliau bersyukur dengan peluang yang diberikan "Saya rasa sangat bangga dan bersyukur kerana terpilih mewakili Malaysia yang menjadi impian dan cita-cita semua pemain bola sepak. Walaupun persiapan pasukan agak terhad tetapi coach Brad telah meletakkan saya sebagai kesebelasan utamanya. Ini bermakna beliau percayakan saya, jadi saya perlu berikan yang terbaik dengan peluang yang diberikan.”
“Tidak dinafikan saya sangat berbangga dapat menjaringkan gol pertama dalam penampilan pertama saya bersama pasukan kebangsaan," tambah Danial.
Syahir juga sempat berkongsi sedikit perasaan gembira beliau, "Saya rasa bersyukur kerana pertama kali dipanggil menyertai pasukan negara. Sudah lama saya menantikan peluang ini. Terima kasih kepada coach Brad kerana percayakan saya walaupun saya merupakan antara pemain baru dalam pasukan. Saya telah berikan yang terbaik dalam perlawanan tempoh hari dan akan terus berikan segalanya sehingga tamat saingan Sukan SEA Vietnam 2022," ujar Syahir.
Untuk makluman semua, kesemua pemain muda Selangor FC dalam senarai 20 Sukan SEA Vietnam 2021 telah beraksi dalam kejohanan ini selepas Faiz Amer berjaya menempatkan diri beliau dalam kesebelasan utama menentang Laos semalam.
Selangor FC mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan bawah 23 tahun Sukan SEA Vietnam 2022.
Demi Kebanggaan!